Sunday 11 October 2015

Sains Dan Teknologi


 


RIS
SEMESTER 1 SESI 2010/2011

KOD & NAMA KURSUS

BML3113
SEJARAH BAHASA, KESUSASTERAAN DAN KEBUDAYAAN MELAYU
TAJUK: 2
Sains dan teknologi sebagai penggerak kearah pencapaian Malaysia yang lebih dinamik dan progresif.

 
 





DISEDIAKAN OLEH:

NAMA
NO. MATRIK
PROGRAM
ROZIAH BINTI ABDUL LATIP
D055558
A142PJJ

PENSYARAH/PENYELIA: RAZALI AYOB
Tarikh : 19 APRIL, 2015



ISI KANDUNGAN.

BIL
PERKARA
MUKA SURAT
01.
Pengenalan
3
02.
Definisi
4
03.
Sains dan teknologi sebagai penggerak kearah pencapaian Malaysia yang lebih dinamik dan progresif
3.1: Dalam Konteks Pendidikan
3.2: Bidang Domestik Di Malaysia
3.3: Bidang Pengangkutan
3.4: Membina Modal Insan
3.5: Membentuk masyarakat yang bersifat sains serta progresif.
3.6: Kemudahan Komunikasi
3.7: Bidang Perubatan
3.8: Bidang Industri
3.9: Bidang Pertanian






5-20
04.
Kesimpulan
21
05.
Rujukan
22







1. Pengenalan
Dalam era ledakan maklumat ini, sains dan teknologi amat penting. Sains dan teknologi ini sudah menguasai global ini dengan berleluasa. Hampir setiap saat orang menggunakan sains dan teknologi ini dan menyebabkan kita boleh menguasai dan mengawal hampir setiap perkara di hujung jari sahaja.  Negara yang tidak mengutamakan sains dan teknologi akan ketinggalan dalam arus pembangunan atau umpama katak di bawah tempurung. Kemajuan sains dan teknologi  ini telah mendatangkan banyak manfaat kepada individu, masyarakat dan negara.
Isu Gaza dan Palestin yang begitu mendapat perhatian kita ini mengimbau semula kaitan antara sains, teknologi dan saintis di dalam memupuk keamanan. Benarkah saintis sebagai kumpulan yang mencipta berbagai teknologi di atas nama “keobjektifan yang hakiki” tidak mempedulikan hal-hal kemanusiaan yang dianggap oleh mereka perkiraan politik yang subjektif. Sekurang-kurangnya inilah pandangan para pengkritik sains dan teknologi, khasnya dalam aspek penggunaan Sains dan Teknologi yang membawa impak negatif kepada kehidupan seperti peperangan.  Apapun sudut pandangan yang mendominasi para saintis dan para pengkritik mereka, hakikatnya adalah, apabila berlaku keganasan seperti yang kita hadapi di Gaza dan Palestin, Sains dan Teknologi adalah mekanisma yang jelas digunakan di dalam peperangan dan kemusnahan yang berlaku.
Di Malaysia sendiri sudah ada di antara media-media sosial yang mengutuk sains dan teknologi dalam konteks negatif yang sedemikian.  Dalam situasi yang sebegini kita tidak mahu masyarakat khasnya umat Islam keliru tentang sains dan teknologi.  Realitinya adalah sains dan teknologi sebenarnya sebati dengan Islam dan Al-Quran itu sendiri.   Walaupun tidak diterima pada mulanya seperti semasa era kolonial khasnya,  hari ini ahli sejarah barat, sendiri mewarwarkan sejarah berkembangnya sains dan teknologi moden itu bermula dengan tamadun Islam itu sendiri.  Dari tamadun inilah yang di antaranya berpusat di Andalusia (Sepanyol dan Sicily hari ini) munculnya berbagai ilmu sains dan teknologi yang bersifat mesra alam dan melestarikan tamadun dan kemanusiaan.  Namun hari ini sifat sains dan teknologi yang asal tersebut telah tercemar sebahagiannya lantaran pandangan alam yang menjadi pendorong kepada sains dan teknologi telah berubah daripada yang berlandaskan bimbingan akhlak dan etika dari Maha Pencipta kepada yang tidak bertuhan. Di tangan golongan kedua ini jadilah sains dan teknologi  alat mendapatkan kuasa dan keuntungan tanpa batas.

2. Definisi.

Sains merupakan sebuah proses pengumpulan ilmu atau maklumat dan penyusunannya. Perkataan sains datang daripada bahasa Latinscinetia, yang bermakna mendapatkan ilmu atau maklumat. Dan seperti proses mendapatkan maklumat yang lain, sains bermula dengan pengalaman, dan kemudiannya mendapatkan fakta dan peraturan daripadaya.
Teknologi merupakan satu konsep yang luas dan mempunyai lebih daripada satu takrifan. Takrifan yang pertama ialah pembangunan dan penggunaan alatan, mesin, bahan dan proses untuk menyelesaikan masalah manusia.Perkataan technology berasal dari perkataan Greek τεχνολογία (technología); dari τέχνη (téchnē), yang bermaksud "seni, kemahiran, rekaan", dan -λογία (-logía), yang bermaksud "pembelajaran, kajian". Istilah ini boleh digunapakai samada secara umum atau dalam bidang tertentu: contohnya technologi pembinaan, teknologi perubatan, dan teknologi maklumat.
Istilah teknologi selalunya berkait rapat dengan rekaan dan gadget menggunakan prinsip sains dan proses terkini. Namun, rekaan lama seperti tayar masih menunjukkan teknologi.
Maksud yang kedua digunakan dalam bidang ekonomi, yang mana teknologi dilihat sebagai tahap pengetahuan semasa dalam menggabungkan sumber bagi menghasilkan produk yang dikehendaki. Oleh itu, teknologi akan berubah apabila pengetahuan teknikal kita berubah.
Takrifan teknologi yang diguna pakai di sekolah-sekolah dan institusi-insitusi pengajian tinggi di Malaysia ialah aplikasi pengetahuan sains yang boleh memanfaatkan serta menyelesaikan masalah manusia yang dihadapi dalam kehidupan seharian. -Amirul Naim bin Hashim & Muhammad Shafiq bin Md Ithnan






3. Sains dan teknologi sebagai penggerak kearah pencapaian Malaysia yang lebih dinamik dan progresif.
 Dalam era dunia tanpa sempadan, semua maklumat hanyalah dihujung jari. Sains dan teknologi membawa kita kepada suatu perubahan kehidupan. Kemajuannya tidak boleh dinafikan. Namun, dalam pada itu, ada juga yang menafikan tentang kesan sains dan teknologi. Pelbagai kesimpulan yang dibuat oleh individu berdasarkan pengamatan tentang peranan sains dan teknologi sama ada membawa kepada kemajuan mahupun kemusnahan alam sejagat.
Tidak dapat dinafikan bahawa sains dan teknologi mempunyai peranan penting dalam pembangunan masyarakat sejagat khususnnya di negara kita. Ia juga merupakan nadi penggerak ke arah Malaysia yang lebih dinamik dan progresif. Kepentingannya sebagai penggerak kemajuan kepada negara kita seperti:
3.1: Dalam Konteks Pendidikan
Kemajuan sains dan teknologi telah membawa satu makna baru dalam kehidupan manusia masa kini terutamanya di Malaysia. Dengan perkembangan yang pesat dalam bidang elekronik, berbagai ciptaan baru telah dihasilkan seperti kalkulator dan komputer. Penggunaan teknologi komputer dalam bidang pendidikan bukanlah sesuatu yang baru, malah telah lama diperkenalkan di negara-negara maju seperti Amerika dan Eropah sejak awal tahun 60-an lagi. Dalam konteks pendidikan, ia bukan hanya mampu membantu tugas-tugas pengurusan dan pentadbiran tetapi berpotensi sebagai alat untuk menggayakan lagi persekitaran pengajaran dan pembelajaran.
Kecanggihan penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) telah menjadikan ICT satu keperluan dalam kehidupan seharian. Sebagaimana yang diramal oleh para penyelidik, masa hadapan pembangunan sesebuah negara banyak didominasikan perkembangan sains dan teknologi, dan teknologi yang banyak mendominasi kehidupan kini pula adalah ICT. Sebenarnya konsep ini ada disebut dalam al-Quran menerusi firmanNya bermaksud: “Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatu pun; dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran); supaya kamu bersyukur.” (An-Nahl :78). Dunia pendidikan juga tidak ketinggalan dalam mengejar arus perkembangan pesat ICT yang menjadikan dunia pendidikan harus bergerak selari dengannya. Pendidikan seharusnya berkembang selaras dengan perkembangan teknologi. Kaedah pembelajaran tradisional perlu dimodenkan dan sebaik mungkin menjurus ke arah penggunaan

teknologi sebagai satu dari media pengajaran dan pembelajaran. Penggabungan antara kurikulum dengan aspek teknologi adalah sebagai satu daya usaha ke arah menyemai dan memupuk minat serta sikap yang positif terhadap perkembangan teknologi. Budaya persekolahan seharusnya diubah daripada sesuatu yang berdasarkan memori kepada yang berpengetahuan, berpemikiran, kreatif dan penyayang dengan menggunakan teknologi terkini (KPM, 1997). Maka di atas kepentingan inilah kerajaan telah mewujudkan Sekolah Bestari yang dapat mengisi agenda perancangan dan perlaksanaan Koridor Raya Multimedia (MSC). Penggunaan ICT dapat membantu guru dalam menghubungkaitkan perkembangan kemahiran prosedur matematik kepada perkembangan pemahaman matematik secara menyeluruh. Kemahiran-kemahiran tertentu yang penting sebelum ini mungkin menjadi kurang penting atau tidak diperlukan lagi melalui penggunaan teknologi. Murid-murid tadika akan dapat memanipulasikan objek-objek pada skrin komputer yang sebelum ini cuma dapat dibayangkan sahaja. Teknologi geometri akan memudahkan pemahaman di peringkat sekolah seperti translasi, putaran, pantulan dan pembesaran. Sementara itu, teknologi grafik memudahkan pengkajian ciri-ciri fungsi linear, fungsi kuadratik, fungsi kubik dan fungsi-fungsi yang lain.
Penganugerahan Felo Kehormat kepada Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan satu sejarah yang signifikan bagi Akademi Sains Malaysia. Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan kekuatan utama di sebalik pembentukan Akademi dan merupakan seorang insan yang berkarisma serta menjadi inspirasi bagi kemajuan Sains dan Teknologi dalam Negara ini. Tun Dr Mahathir Mohamad menjadikan pemikiran, membangun konsep dan perancangan sebagai kerjaya beliau.
Lebih dari setengah abad, beliau telah banyak melahirkan hasrat, memberikan pandangan yang luas dan mencetuskan idea dan konsep dalam subjek dan minat yang luas. Walaupun idea-idea Tun Dr Mahathir Mohamad singular dalam sesetengah aspek, ia tidak terbatas dalam bidang tertentu sahaja. Kekayaan idea dan pemikiran merupakan hallmark beliau dan ia mencerminkan kehebatan pemikiran dan wawasan yang tiada tandingan. Sebagai seorang yang berlatarbelakangkan Sains, kehandalan beliau telah menghubungkan paradigma pemikiran saintifik dengan semua bidang pembangunan Negara, termasuk politik dan ekonomi.
Beliau telah menunjukkan kebolehan yang luar biasa dalam mengatasi kerumitan dalam pelbagai bidang untuk membawa Negara ke mercu kejayaan. Tun Dr Mahathir Mohamad tegas menyatakan bahawa Sains dan Teknologi merupakan peralatan yang penting untuk pembangunan Negara telah membawa beliau untuk memperjuangkan kemajuan Sains dan Teknologi di Malaysia dengan ketabahan dan matlamat.
Hal ini dibuktikan apabila Tun Dr Mahathir memasukkan Sains dan Teknologi sebagai sebahagian penting daripada Rancangan Pembangunan Kerajaan mulai Rancangan Malaysia ke-Lima dan seterusnya. Beliau menunjukkan kebijaksanaan, pragmatisme dan berpandangan jauh dengan mengadaptasi idea baru dan lama untuk membentuk pembangunan Sains dan Teknologi dalam bentuk yang relevan dengan konteks negara. Hasilnya, kini Malaysia mempunyai struktur dan institusi-institusi yang setanding dengan mereka yang terdapat di negara-negara yang menerajui Sains dan Teknologi.
Institusi pengajian tinggi, pusat penyelidikan, polisi sains, kumpulan pemikir, saintis dan ahli teknologi menjadi testimoni kepada usaha Tun Dr Mahathir untuk mengubah senario sains dan teknologi di Malaysia ke tahap antarabangsa. Perkembangan dan kecemerlangan yang sebenarnya hanya akan dicapai apabila kita belajar untuk mengatasi halangan, sama ada besar mahupun kecil. Tun Dr Mahathir Mohamad telah cukup mendemonstrasikan semua ini sepanjang pembabitan beliau selama ini. Akademi Sains Malaysia dan komuniti saintifik di Negara ini harus mengikut jejak langkah beliau dalam semua usaha bermula kini dan akan datang. Tun Dr Mahathir Mohamad dianggap sebagai ahli Motivasi, ahli Falsafah, ahli Pemikir, Penggubal wawasan dan Pejuang Sains dan Teknologi di Malaysia.
Akademi Sains Malaysia dengan bangganya menganugerahkan Felo Kehormat Akademi Sains Malaysia kepada YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia, bagi kepimpinan dan komitmen terhadap pembangunan Sains, Teknologi dan Inovasi di Malaysia ke arah menghasilkan ilmu pengetahuan baru dan menjana kekayaan untuk manfaat kepada masyarakat.
Cabaran ke-enam Wawasan 2020 telah menekankan objektif untuk mewujudkan masyarakat Malaysia yang saintifik dan progresif. Sains dan Teknologi telah dikenalpasti sebagai pemangkin untuk membawa pertumbuhan sosial-ekonomi Negara ke arah status Negara maju menjelang Tahun 2020. Teknologi baru diperlukan untuk meningkatkan produktiviti dan memaksimumkan kebekersanan industri di Malaysia, di mana akhirnya kita mampu untuk menjadi sebuah Negara yang lebih berdaya saing Dalam konteks ini, YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi mencabar komuniti sains, teknologi dan inovasi Malaysia untuk berusaha meraih hasil dengan merangkumi rukun-rukun k-ekonomi.
Semenjak menjadi Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi telah mengimplimentasikan langkah untuk menggabung dan mengemudi agenda Sains dan Teknologi melalui pucuk pimpinan yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Beliau telah menggariskan isu asas dalam industri Sains dan Teknologi dan menggalakkan semua pihak berkepentingan untuk mara ke hadapan dengan cara yang lebih fokus, kohesif dan berkesan. Berdasarkan ukuran tersebut, Kementerian Sains dan Teknologi dan Alam Sekitar telah distruktur semula menjadi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi. Oleh itu, semua agensi Sains dan Teknologi yang berkaitan dengan Kementerian dikendalikan semula di bawah skop satu kementerian yang menyediakan usaha bersepadu dalam agenda Sains dan Teknologi Negara. Untuk menggambarkan komitmen kerajaan dalam merealisasikan inovasi, Sains dan Teknologi yang lebih berkesan, YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi telah membentuk Majlis Inovasi Kebangsaan yang dipengerusikan oleh beliau untuk merangka dan melaksanakan rancangan bagi sains, teknologi dan inovasi yang relevan dan praktikal. Input dari penggubal dasar, penyelidik, pemimpin industri dan akademik dari dalam dan luar Malaysia sangat bermanfaat untuk mencapai tujuan tersebut. Di bawah kepimpinan YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Malaysia telah meningkatkan minat untuk membangunkan industri bioteknologi, industri yang merupakan salahsatu dari penggerak untuk mendorong penghasilan ilmu pengetahuan dan inovasi, terutama dalam mencapai peringkat pembangunan yang mempunyai nilai-tambah yang tinggi. Semua ini termaktub dalam tinjauan dan pelancaran Dasar Bioteknologi Negara, yang mengenalpasti bidang seperti agro-bio, farmasutikal, nutrasutikel dan industri bioteknologi sebagai kunci utama untuk Malaysia. Polisi tersebut juga menetapkan insentif untuk penyelidikan dan juga industri. Selain itu, Malaysian Biotechnolgy Corporation juga dibangunkan untuk memberi kemudahan yang berkesan dalam pembangunan sektor bioteknologi di Malaysia. Sejajar dengan wawasan Malaysia untuk menjadi Negara yang berdaya-saing, YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi telah memainkan peranan penting dalam memodenkan sektor pertanian kecil-kecilan melalui Sains dan Teknologi. Sejajar dengan ini, YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi selalu menekankan perlunya mengubah dan mengukuhkan nilai pembentukan sektor pertanian melalui sains, teknologi dan inovasi. Limpahan dari pembentukan ini, akan terhasil aktiviti-aktiviti dan industri kecil dan sederhana lain. Akhirnya, kehidupan para petani akan dapat diperbaiki, di mana ia merupakan agenda penting dalam pentadbiran YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Aspek lain yang juga merupakan keunggulan YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi adalah keupayaan pembangunan dalam bidang Sains dan Teknologi. Beliau telah memberi keutamaan dalam membangunkan modal intelektual dalam bentuk penyelidikan sains, kejuruteraan dan teknologi yang lebih berkelayakan, kompeten dan berteraskan industri. Dalam masa yang sama, mengenali perlunya kepakaran dalam Sains dan Teknologi untuk mendorong negara ke arah ekonomi, beliau telah memperkukuhkan program Brain  Gain” yang akan membawa Malaysia ke persada dunia dengan mensasar rakyat Malaysia yang berkerja di luar Negara atau bukan rakyat Malaysia, di mana ia memudahkan pemindahan ilmu pengetahuan dan kepakaran dalam Negara.
Dalam arena antarabangsa, YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi merupakan Pengerusi Organization of Islamic Conference (OIC) dan Non-Aligned Movement (NAM), beliau tidak pernah kecundang dalam menerajui Sains Dan Teknologi untuk pembangunan dan peningkatan taraf hidup untuk faedah komuniti global. YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi selalu dipanggil untuk kerjasama memartabatkan sains dan teknologi, penyelidikan dan pembangunan dalam Negara-negara anggota sebagai laluan untuk pemodenan, pembangunan dan perkembangan Negara. Melalui pelbagai inisiatif dan polisi yang dilaksanakan di bawah pentadbiran beliau, YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi menunjukkan bahawa Kerajaan telah memberikan komitmen yang padu untuk melihat ekonomi yang didorong ilmu dan prestasi muncul melalui kecemerlangan Sains dan Teknologi. YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi merupakan simbol kepimpinan dan komitmen yang menghasilkan keputusan dengan menanamkan budaya kerja yang tinggi, integriti, bertanggungjawab dan pengurusan yang diperlukan untuk merealisasikan Wawasan 2020.
Akademi Sains Malaysia bersama-sama komuniti saintifik Malaysia menghormati kepimpinan dan komitmen yang diberikan dalam pembangunan sains, teknologi dan inovasi oleh YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dan dengan bangganya mengalu-alukan beliau sebagai Felo Kehormat ASM.


3.2: Bidang Domestik Di Malaysia
Pelbagai ciptaan berdasarkan sains dan teknologi telah membantu manusia dalam kehidupan seharian. Dengan kemajuan dalam bidang sains dan teknologi ini pelbagai ciptaan telah diperkenalkan untuk memudahkan dan mempercepatkan kerja manusia, di samping memberikan hasil yang lebih bermutu. Ini telah memberi banyak manafaat kepada manusia terutamanya dalam bidang domestik, pengangkutan, pertanian, komunikasi dan perubatan.  
Dalam bidang ini sains membantu manusia melakukan kerja-kerja seharian dengan lebih mudah dan cepat. Banyak masa dapat dijimatkan dan masa ini boleh digunakan untuk memberi tumpuan kepada keluarga dan kerjaya. Contohnya ; periuk memasak nasi elektrik, cerek elektrik dan mesin pengisar mampu membantu para ibu semasa memasak. 
Selain daripada itu, mesin pencuci pakaian dan penyedut hampagas ( vacuum cleaner ) pula dapat membantu para ibu meringankan tugas mereka semasa mengemas rumah.Selain daripada itu sains juga menjadikan kehidupan lebih selesa di mana kipas angin atau penghawa dingin dapat menyejukkan bilik yang panas, pelbagai jenis lampu menerangi malam yang gelap dan tilam yang empuk untuk tidur yang lena.

3.3: Bidang Pengangkutan

Sains dan teknologi telah menjadikan pengangkutan lebih mudah, cepat dan lebih selesa. Kapal terbang dapat membantu manusia untuk sampai ke destinasi yang jauh dengan cepat. Ini dapat menjimatkan masa dan dapat mengelakkan manusia letih kerana berada lama di dalam perjalanan. Selain daripada itu ruang dan tempat duduknya  pula direka untuk keselesaan penumpangnya.
Kereta yang pelbagai jenis dan jenama direka supaya boleh bergerak dengan laju dan licin untuk keselesaan pemandu dan penumpang. Komuter dan monorail merupakan pengangkutan awam yang dapat membantu manusia mengurangkan kesesakan jalan raya. Basikal dan motorsikal yang dicipta oleh sains dapat digunakan di lorong-lorong atau jalan yang sempit dan juga dapat membantu manusia mengharungi kesesakan jalanraya. Sains juga membantu merekabentuk

jalanraya dan lebuhraya yang lebih baik dan selesa untuk mengelakkan kemalangan. Jalanraya dan lebuhraya sangat penting untuk menghubungkan antara dua tempat.

3.4: Membina Modal Insan
Hasrat kerajaan untuk memberi penekanan terhadap pembangunan modal insan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) adalah sangat luar biasa dan meyakinkan. Pelaburan dalam modal insan ini dilihat sebagai usaha kerajaan bagi meningkatkan daya tahan dan pertumbuhan ekonomi serta membentuk sebuah masyarakat yang mempunyai sistem nilai yang boleh diteladani. Fokus akan diberi kepada galakan dan usaha membina serta membangunkan modal insan yang bersifat holistik, lengkap dengan pengetahuan dan kemahiran serta mempunyai nilai moral dan etika yang teguh.

Terdapat pelbagai definisi mengenai modal insan. Ada yang melihat daripada perspektif ekonomi, sosial dan agama. Para pengkaji di Barat melihat daripada perspektif yang berbeza. Gary S. Becker berpendapat modal insan adalah berkaitan dengan ekonomi masyarakat dan negara kerana individu tidak dapat dipisahkan daripada pengetahuan, kemahiran, kesihatan ataupun nilai. Oleh sebab itulah pendapatan yang tinggi, kesihatan yang baik dan pembentukan nilai dan tabiat yang baik akan memberi kesejahteraan kepada kehidupan seseorang.

Beliau menekankan dua elemen yang penting sebagai pelaburan masa depan dalam modal insan iaitu pendidikan dan latihan. Bagi beliau, institusi pendidikan seperti sekolah, universiti, kelas komputer, pembelajaran kesihatan dan perbincangan-perbincangan mengenai nilai hidup juga dianggap sebagai modal insan ke arah meningkatkan aset insan itu sendiri. Oleh itu modal insan adalah harta terpenting yang ada pada seseorang yang membawa pendapatan kepadanya.

Seorang lagi sarjana yang melihat modal insan daripada perspektif ekonomi ialah Theodore W. Schultz yang memperkenalkan teori modal insan. Beliau berhujah menyatakan bahawa pengetahuan dan kemahiran adalah elemen modal yang terhasil daripada pelaburan yang disengajakan. Contoh yang jelas ialah peningkatan hasil ekonomi di negara-negara Barat adalah kesan positif daripada pelaburan dalam modal insan. Dengan kata lain, wujud hubungan di antara peningkatan pelaburan modal insan dan peningkatan pendapatan pekerja. Selari dengan pandangan Gary S. Becker, Schultz turut bersetuju dengan konsep pelaburan modal insan ini. Jadi, negara-negara maju yang melabur dalam pendidikan, kesihatan dan latihan dalam jangka panjang akan menguatkan struktur ekonomi dan meningkatkan taraf hidup masyarakat mereka.

Manakala negara-negara membangun dan mundur masih mementingkan pelaburan jangka pendek bagi memenuhi keperluan asas seperti makanan, tempat perlindungan dan keselamatan.

Definisi modal insan dalam Islam sangat berbeza daripada Barat yang asasnya adalah fahaman kapitalis. Islam mengenal pasti pembangunan sumber manusia sebagai elemen terpenting dalam modal insan kerana sumber yang utama ialah individu. Modal insan tidak seharusnya dilihat dari sudut latihan, kemahiran, kepakaran, profesional, kelebihan maklumat dan sebagainya malah harus mempunyai ciri-ciri pembangunan ke atas insan yang menerapkan sifat-sifat amanah, jujur, berakhlak mulia, progresif, cergas dan bertamadun.

Keperluan dunia semata-mata tidak akan memberi kelebihan ke atas pembangunan modal insan kerana tujuan penciptaan manusia ialah jelas seperti maksud Surah Az-Zariyat ayat 56;
“Tidaklah aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu”.
Hasil akhir yang cemerlang adalah tonggak utama pembangunan modal insan dalam Islam kerana Islam telah menyediakan satu sistem hidup yang lengkap dari mula lahir hinggalah ke akhir hayat. Konsep pembangunan sumber manusia dalam Islam adalah proses menyeluruh untuk membentuk insane yang berguna. Manusia yang lahir kelak akan menerima janji daripada Tuhannya iaitu ;“Sekiranya penduduk sesuatu negeri itu bertakwa nescaya Kami akan membuka kepada mereka (pintu-pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya dari langit dan bumi”. (Surah Al-A’raf ayat 96)

Modal insan yang diketengahkan oleh Islam bukan hanya melahirkan individu yang pakar, mahir ataupun profesional dalam bidang masing-masing tetapi penuh dengan nilai-nilai positif seperti amanah, jujur dan sebagainya. Pembentukan nilai-nilai ini tidak sekadar memenuhi kehendak organisasi malah untuk masyarakat dan negara.


Pendekatan fizikal melalui sesebuah dasar yang memberi fokus terhadap ekonomi tidak akan dapat memaksimumkan pembangunan modal insan. Dasar Ekonomi Baru (1971-1990) yang memberi perhatian terhadap membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat, strategi seterusnya beralih kepada memberi keutamaan terhadap pembangunan jasmani dan rohani melalui Rangka Rancangan Jangka Panjang (1991-1995), (A.Aziz Deraman,2005). Perhatian yang lebih serius terhadap modal insan ini terserlah dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Keseriusan kerajaan terhadap pembangunan modal insan ini diterjemahkan sebanyak RM45.1 bilion yang diperuntukkan bagi melaksanakan pelbagai program pendidikan dan latihan yang dirancang dalam Rancangan Malaysia Kesembilan.

Sebanyak lapan teras Dasar Pembangunan Modal Insan yang telah digariskan iaitu :
1.Melaksanakan penambaikan serta komprehensif terhadap sistem penyampaian pendidikan dan latihan.
2.Memperkasa sekolah kebangsaan untuk menjadi sekolah pilihan utama rakyat Malaysia bagi meningkatkan perpaduan negara. Untuk tujuan ini, subjek bahasa Mandarin dan Tamil akan diperkenalkan.
3.Melaksanakan langkah bagi merapatkan jurang prestasi di antara sekolah luar bandar dan bandar termasuk menggantikan semua sekolah daif bagi menyediakan persekitaran pengajaran dan pembelajaran yang lebih kondusif serta menempatkan guru berpengalaman di sekolah luar bandar.
4.Mewujudkan universiti bertaraf antarabangsa dan memastikan pendidikan dan latihan di peringkat tertiari memenuhi keperluan majikan.
5.Menyediakan lebih banyak peluang dan akses kepada pendidikan latihan dan pembelajaran sepanjang hayat (lifelong learning) yang berkualiti di semua peringkat.
6.Membina masyarakat yang inovatif dengan keupayaan sains dan teknologi yang kukuh dan memiliki kemampuan memperoleh dan menggunakan pengetahuan.
7.Memperkukuh perpaduan nasional dan membangunkan masyarakat yang mempunyai perspektif progresif, sistem nilai yang boleh diteladani dan budaya mengutamakan prestasi tinggi serta menghargai tradisi dan warisan.
8.Memperluas dan memperkemas forum perbincangan dan perundingan antara kerajaan, sektor swasta, ibu bapa dan masyarakat dalam pembangunan modal insan.

3.5: Membentuk masyarakat yang bersifat sains serta progresif.
“Sains dan Teknologi memainkan peranan yang penting dalam arus perkembangan dunia yang semankin canggih. Oleh itu, pembangunan sains dan teknologi harus diambil kira untuk membentuk sebuah ‘masyarakat sains’ yang progresif”. (OUM Pengajian Malaysia. M/S 123) Selaras dengan strategi mengutamakan pembangunan Sains dan Teknologi , kerajaan pada bulan April1986 telah mengumumkan Dasar sains dan Teknologi Negara. Dasar Sains dan Teknologi Negara adalah bertujuan “ menggalakkan penggunaan Sains dan teknologi sebagai satu alat untuk pembangunan ekonomi, membaiki  kedudukan fizikal dan kesejahteraan rakyat dan untuk melindungi kedaulatan  negara, yang merupakan sebahagian daripada dasar pembangunan sosioekonomi negara”. Untuk merealisasikan matlamat tersebut beberapa usaha telah dijalankan, antaranya:
1. Mengaitkan Dasar Sains dan Teknologi dengan dasar-dasar yang lain seperti Dasar pembangunan Nasional dan Dasar Pertanian Negara;
2. Meningkatkan peningkatan yang saintifik yang dapat menyumbang kepada kejayaan rancangan pembangunan negara;
3. Berdikari, iaitu tidak bergantung kepada keupayaan S&T negara-negara maju;
4. Mengadakan pusat maklumat sains dan teknologi untuk memudahkan pengumpulan data, pengurusan, perancangan, penyelarasan dan pengawasan pelaksana dasar;
5. Mengadakan Penyelidikan dan Pembangunan (P&P), iaitu penubuhan suatu system pengurusan P&P yang berkesan dan teratur untuk memperkukuhkan kemudahan asas yang seterusnya dapat menjamin pemindahan teknologi dan memperkenalkan produk baru;
6. Pembangunan tenaga manusia untuk jangka masa panjang yang saintifik dan teknikal untuk memenuhi keperluan sector perindustrian yang semakin berkembang dengan cara perubahan dalam sistem pelajaran, memberi kesedaran kepada rakyat tentang potensi sains dan teknologi serta mengekalkan tenaga saintifik dan teknikal dalam bidang yang sesuai;
7. Komputerisasi untuk meningkatkan kemahiran menggunakan komputer dalam pelajaran, industri dan pengurusan penyelidikan; dan
8. Menyediakan pusat-pusat kecemerlangan sains seperti Akademi Sains yang ditubuhkan untuk mengawasi kemajuan sains dan teknologi dalam negara khususnya di dalam bidang kejuruteraan genetic, bioteknologi, komunikasi, elektronik dan kajihayat. . Sebagai rakyat Malaysia, kita mesti mempunyai keupayaan untuk memajukan dan menyelaraskan sumber-sumber S&T yang ada dalam negara supaya menjadikan Malaysia sebuah masyarakat yang berasaskan sains dan yang progresif, iaitu satu masyarakat yang berdaya cipta dan berpandangan jauh, sebuah masyarakat yang bukan sahaja dapat memanfaatkan teknologi masa kini tetapi turut menjadi penyumbang kepada kemajuan peradaban sains dan teknologi pada masa hadapan.

3.6: Kemudahan Komunikasi

Dalam era ledakan maklumat ini, teknologi maklumat dan komunikasi atau ICT amat penting. Teknologi ini sudah menguasai global ini dengan berleluasa. Hampir setiap saat orang menggunakan teknologi ini dan dengan teknologi jugalah menyebabkan kita boleh menguasai dan mengawal hampir setiap perkara di hujung jari sahaja.  Negara yang tidak mengutamakan ICT akan ketinggalan dalam arus pembangunan atau umpama katak di bawah tempurung. Kemajuan ICT ini telah mendatangkan banyak manfaat kepada individu, masyarakat dan negara.
                                         
Sesuatu perkara yang dicipta atau diwujudkan tentu sekali mendatangkan kebaikan serta keburukan. Perkara yang baik tentu sekali lebih mendatangkan faedah atau kepentingan kepada pengguna. Begitu jugalah dengan ICT. Kemajuan ICT telah menyumbang dalam meningkatkan pengurusan dan pentadbiran negara ke arah lebih sistematik dan teratur.  Segala urusan baik kerajaan mahupun swasta dapat dipercepat melalui kemajuan ICT. Keadaan ini bukan sahaja menjimatkan masa, bahkan tenaga, dan wang kerajaan serta rakyat sendiri. Kegunaan ICT sememangnya cukup mendewasakan Malaysia.  Pentadbiran negara dan swasta menjadi lebih cepat dan cekap.


Dengan itu, Malaysia akan lebih cepat mencapai wawasannya dan mencipta nama di persada dunia ini. Sebagai analoginya, kerja pengurusan dokumen, permohonan dan sebagainya menjadi tepat dan cekap.  Dengan adanya ICT, data dapat diproses dan disimpan dengan segera tanpa membuang masa. Urusan kewangan melalui mesin teler automatik (ATM) dan Internet membolehkan kita menguruskan wang kita di seluruh dunia dengan mudah dan lancar.  

Jika ditinjau secara lebih mendalam lagi, ICT bukan sahaja membantu dalam pentadbiran dan pengurusan negara, malah ICT penting dalam ramalan cuaca dan panduan pelayaran. Jika dahulu, pelayar merujuk kepada kedudukan bintang di langit untuk dijadikan sebagai “kompas” semasa belayar.  Jika dahulu ada yang merujuk  keadaan langit dan awan untuk meramal cuaca ataupun mempercayai ramalan ahli nujum. Sekarang, dengan adanya satelit cuaca, fenomena alam dapat diramal dengan lebih tepat serta terperinci. Melalui satelit cuaca ini, siri gambar awan dapat diambil dan seterusnya kita dapat meramalkan keadaan cuaca dunia. Persediaan awal dapat kita buat untuk mengelakkan berlakunya kerugian harta benda dan pengorbanan nyawa.  Banjir, ribut taufan, tsunami, dan gempa bumi adalah antara contoh fenomena alam yang tidak dapat tidak kita sebagai manusia perlu untuk mengawalnya dengan membuat persediaan rapi kerana kita perlu sediakan payung sebelum hujan. Dengan ramalan fenomena El Nino dan La Nina yang tepat itu, kita dapat membuat persediaan awal. Sebagai contohnya, sistem satelit aeronautik (USA) dapat menghubungi kapal terbang yang melintasi Lautan Atlantik dan Pasifik.  Teknologi komunikasi pelayaran juga penting dalam sistem pengangkutan udara dan laut. Teknologi ini berfungsi sebagai panduan pelayaran. Sistem Satelit Laut (IMMARISAT) dapat mengesan kapal-kapal yang menghadapi masalah di samping berfungsi sebagai panduan.

Sudah terang lagi bersuluh bahawa ICT memainkan peranan yang penting kepada dunia. Hal ini dapat dibuktikan apabila ICT mempercepat hubungan antarabangsa. Dunia seakan-akan menjadi semakin kecil dengan wujudnya ICT. Kita dapat menghubungi sesiapa sahaja di seluruh dunia. Perkara ini ternyata sekali mengukuhkan ungkapan Dunia Tanpa Sempadan.  Kita dapat berhubung dengan sesiapa sahaja sama ada di laman sembang, e-mail, sistem pesanan ringkas (SMS), Skype dan sebagainya. Kita juga dapat menghubungi sesiapa sahaja di seluruh dunia dengan menggunakan telefon bimbit. 

Bukan itu sahaja, perkembangan semasa yang berlaku di seluruh dunia juga dapat diikuti dengan serta-merta  seperti siaran langsung konsert artis popular, perlawanan bola sepak dunia dan siaran berita mutakhir. Acara sukan, persidangan dan sebagainya yang berlangsung di sesebuah negara seperti di Korea di Jepun mahupun di Amerika Syarikat dapat dipancarkan ke seluruh dunia secara langsung.  Siaran ini dapat ditonton melalui Internet dan Astro, telefon, faksimili, televisyen, dan persidangan video bergantung pada ICT untuk membolehkan kita merasai nikmat ini. Internet dan komputer riba turut berfungsi melalui teknologi serba canggih ini. Sememangnya ICT merupakan pembuka laluan yang luas kepada masa depan yang gemilang.
3.7: Bidang Perubatan
Dalam bidang perubatan, sains membantu mempertingkatkan taraf kesihatan manusia melalui penciptaan pelbagai kaedah dan peralatan canggih  untuk mengesan dan menyembuhkan pelbagai penyakit berbahaya pada masa kini. Penyakit yang dapat dikesan pada peringkat awal, memberikan peluang yang besar untuk sembuh.
Stetoskop. termometer dan mesin pengukur tekanan darah( tensimeter ) adalah antara alatan asas yang dicipta oleh sains untuk menentukan tahap kesihatan manusia secara umum. Stetoskop digunakan untuk mengesan ketidaksempurnaan denyutan jantung atau paru-paru. Pengukur tekanan darah digunakan untuk mengukur tekanan darah dan termometer pula untuk mengukur suhu badan.

Mesin CT Scan merupakan mesin sinar-X yang canggih  di mana ia  digunakan untuk melihat struktur badan, organ dalaman dan juga sistem peredaran darah. Alat ini digunakan bagi tujuan melihat struktur tidak normal bahagian dalam badan manusia dengan lebih jelas. Mesin linear accelerator pula digunakan untuk radioterapi. Mesin ini memancarkan radiasi untuk membunuh sel kanser tanpa memengaruhi bahagian badan yang lainnya. Sains juga memberi manafaat kepada manusia melalui penciptaan dan penemuan ubat-ubatan, antibiotik, vitamin dan mineral untuk membantu menyembuhkan penyakit ataupun mengurangkan rasa sakit. Kemajuan sains dan teknologi juga membolehkan pakar-pakar perubatan menghasilkan ubat yang lebih berkesan untuk menyembuhkan pelbagai jenis penyakit.  



3.8: Bidang Industri
Ketika ini masyarakat antarabangsa begitu berminat mengembangkan ekonomi melalui industri berasaskan bioteknologi. Bagi kebanyakan negara terutama di rantau beriklim hutan hujan tropika sumber biologi memang tidak menjadi masalah kerana buminya yang subur dengan beraneka jenis tumbuhan dan didiami oleh pelbagai jenis haiwan. Sumber biologi yang begitu banyak memudahkan negara-negara berkenaan mewujudkan industri tersebut.

Tidak kurang pentingnya ialah pewujudan sumber tenaga manusia yang berkepakaran dalam bidang berkenaan. Pembangunan sumber tenaga manusia yang menjurus ke arah itu harus diberikan penekanan dalam usaha meraih hasil bagi jangka masa panjang.

Peluang bagi pembuatan pelbagai reka cipta teknologi, jentera dan mesin, produk makanan, perubatan, baja, racun serangga, pengembangbiakan dan perkara-perkara yang berhubung kait dengan bioteknologi sentiasa terbuka luas.

Dalam hal ini pengusaha tempatan hendaklah cuba menceburkan diri di bidang berkenaan. Pengusaha-pengusaha tempatan yang telah bergiat dalam bentuk skala kecil mungkin beralih kepada usaha yang lebih besar dan berdaya maju.

Untuk mewujudkan industri skala besar, para pengusaha tempatan mungkin patut mewujudkan usaha sama dengan pelabur-pelabur dari luar negara yang berkepakaran dan berkemampuan di bidang tersebut. Usaha sama seperti itu akan menguntungkan pengusaha tempatan dari segi peralihan teknologi dalam jangka masa panjang.


Penglibatan negara dalam forum-forum kerjasama ekonomi serantau dan antarabangsa seperti APEC, ASEAN, BIMP-EAGA, WTO dan seumpamanya boleh dimanfaatkan oleh pengusaha tempatan.Penglibatan tersebut juga tentunya menyediakan peluang pasaran yang begitu luas.

Apa yang penting, para pengusaha perlu bersedia mempelbagaikan usaha dengan meneroka bidang-bidang perniagaan baru yang lebih berpotensi dan mencabar semata-mata bergantung kepada perniagaan bersifat konvensional.
 

3.9: Dalam Bidang Pertanian
Di dalam bidang pertanian misalnya, usaha perladangan seperti penanaman padi, jagung, sayur-sayuran dan buah-buahnya merupakan usaha yang sudah lama diamalkan. Begitu juga dengan ternakan kerbau, lembu, kambing, ayam dan itik juga menjadi sebahagian usaha orang-orang dahulu.

Seiring dengan kepakaran sains melalui teknologi moden, usaha di bidang pertanian dapat dikembangmajukan. Sebagai misalan kerja-kerja perladangan yang hanya menggunakan parang dan cangkul kini boleh dibuat dengan menggunakan jentera dan seumpamanya. Ia dapat menambah keluasan kawasan berlipat kali ganda selain menjimatkan masa dan tenaga.

Pada masa yang sama terciptanya pelbagai jenis baja dan seumpamanya telah dapat menyuburkan lagi tanaman yang boleh menambahkan kuantiti dan kualiti hasil pertanian. Di waktu yang sama penggunaan bioteknologi membolehkan para petani bercucuk tanam walaupun di tanah yang kering dan gersang atau kurang subur.

Produk-produk racun-racun serangga setentunya juga telah dapat membantu para peladang mengawal tanaman dari makhluk perosak. Begitu juga dengan ´racun rumpai´ kini telah dapat membantu para petani menjimatkan masa, tenaga dan kos dalam kerja-kerja pembersihan ladang mereka.



Dari segi ternakan pula, penghasilan beraneka jenis produk makanan binatang yang dicipta begitu rupa juga boleh membantu menyihat dan mempercepatkan pembesaran haiwan ternakan. Terdapatnya pelbagai vaksin dan ubat-ubatan haiwan juga boleh meningkatkan kawalan dari serangan wabak dan penyakit haiwan.

Selain penjagaan kesihatan dan mempercepatkan pembesaran binatang ternakan, pemakanan dan ubat-ubatan haiwan yang mengandungi vitamin-vitamin tertentu juga akan meningkatkan penghasilkan pengeluaran daging, susu dan telur yang yang lebih bermutu.

Dari segi genetic pula, sains dan teknologi telah menghasilkan bioteknologi. Melalui kajian sains dan teknologi para pakar telah banyak menemukan penghasilan baka sama ada bagi tumbuh-tumbuhan dan haiwan. Penghasilan baka bermutu melalui percantuman atau klon seperti durian, limau, mangga, rambutan, nangka, cempadak, tomato dan berbagai jenis sayur-sayuran dan buah-buahan yang lain telah menjanjikan penghasilan berganda dan pendapatan lumayan kepada para petani.

Pelbagai jenis baka padi dan gandum yang bermutu tinggi telah berjaya meningkatkan penghasilan kepada pengeluaran bahan makanan asasi masyarakat dunia, di samping mutunya yang baik ia juga dapat ditanam dalam dua atau tiga musim setahun. Keadaan yang sama juga berlaku kepada hasil ternakan haiwan di darat dan ternakan ikan di air. Penghasilan baka yang baik dan kaedah pembiakan yang mudah telah dapat menyumbang penghasilan lumayan kepada para nelayan yang mengusahakan ternakan akuakultur di laut dan pengusaha kolam ikan air tawar di darat.

                                                                                                 

Kesimpulan.
           
Kemajuan sains dan teknologi di Malaysia bidang sains menghasilkan banyak penciptaan dan penemuan baru untuk membantu manusia menjalani kehidupan seharian dengan  lebih mudah, cepat dan selesa. Manafaat yang diperolehi oleh manusia melalui sains menggalakkan lagi lebih banyak penemuan baru diperolehi dan sememangnya banyak membawa kepada kebaikan demi untuk mencapai Wawasan 2020. Pokok pangkalnya, apa jua kemajuan yang dicapai perlulah berlandaskan nilai- nilai Islam dan mengikut batas- batas penerokaan ilmu yang telah ditetapkan. Barulah kemajuan dan pembangunan yang kita capai tidak terpesong dan tidak mendatangkan keburukan kepada ummah kerana kadangkala keburukan itu sebenarnya kita juga yang menciptakannya.




















Rujukan

Abdul Aziz & Sumangala Pillai (1997). Mahathir: Kepimpinan dan Wawasan Dalam Sains dan Teknologi. Serdang : University Putra Malaysia.
MALAYSIA, Open University. (2004). LANH1303 Pengajian Malaysia. Kuala Lumpur: UNITEM Sdn. Bhd. Pejabat Perdana Menteri. (1991).
Persfektif Wawasan 2020. Kuala Lumpur Syed Omar Syed Agil Al-Atas (1994).
Wawasan Pembangunan Negara Tahun 2020. Pengindustrian, Moral dan Keilmuan. Kuala Lumpur: Institut Perkembangan Minda Wan Liz Ozman Wan Omar (2000).
Mengurus Agenda Abad 21. Cabaran dan Persiapan Dalam Era Globalisasi. Kuala Lumpur: Golden Books Centre http://sts.um.edu.my/seminar/PersidanganS&T_KertasKerja

http://ow.ly/KNICZ







2 comments:

  1. Terima kasih....
    Penggunaan bahasa yang sungguh hebat dan menakjubkan

    ReplyDelete